Selasa, 28 Ogos 2018 | 3:33pm
AMIDON Anan. - Foto Naufal Samsudin

Penyiasat forensik berprofil tinggi cabar kewibawaan Amidon

KUALA LUMPUR: Teori digunakan penjenayah ‘tiada mayat, tiada pembunuhan’ dalam menghapuskan bukti perbuatan mereka, tidak tepat kerana kecekapan anggota forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mampu ‘menimbulkannya’ semula.

Walaupun mangsa ditanam, disimen, dibakar, diletupkan, dibuang ke laut dan dibunuh di dalam hutan, kepakaran anggota jabatan ini berjaya membawa si pelaku ke muka pengadilan.

Ini dibuktikan dengan pencapaian pakar forensik negara, Amidon Anan, 67, bersara dengan pangkat Superintendan, yang berjaya menyelesaikan puluhan kes pembunuhan berprofil tinggi, rompakan dan pelbagai kegiatan jenayah lain, sekali gus menaikkan nama pasukan keselamatan itu di mata dunia.

Bekas Ketua Unit Siasatan, Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Makmal Forensik, Bukit Aman itu berkata, dalam proses mencari bukti puluhan kes, pembunuhan penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Lay Kian pada 2003 dan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu Setev (2006), antara paling mencabar.

“Bukan mudah mendakwa penjenayah, tambahan pula tanpa bukti sahih bagi mengaitkannya. Kedua-dua kes ini mencabar minda, kesabaran dan kemampuan saya bersama pasukan forensik.

“Sehinggakan ketika bertugas, kami ‘bertekak’ bagi menghilangkan tekanan. Entah macam mana ketika bertekak, muncul idea bagaimana hendak menyelesaikannya dan kami berjaya,” katanya kepada NSTP.

Amidon berkata, jika kita benar-benar mengamalkan ilmu sains forensik dalam siasatan, nescaya keputusan akan terserlah dan jitu, hingga tidak boleh dipertikaikan.

Katanya, dalam menyelesaikan kes pembunuhan, gelagatnya yang suka bercakap dengan mayat disalah erti hingga dituduh gila.

“Sebagai orang Islam, kita disaran meminta izin kepada si mati bahawa saya datang dengan niat membela kematiannya serta berusaha mengheret si pembunuh ke mahkamah bagi diadili.

“Kami datang pun untuk mengumpul seberapa banyak bukti daripada mayat dan lokasi pembunuhan supaya pegawai penyiasat (IO) dapat menahan suspek,” katanya.

Beliau berkata, sejak kanak-kanak beliau tertarik dengan kerjaya sebagai anggota polis kerana arwah bapanya, Anan Yeop Abdullah Sani adalah bekas ketua polis daerah, suatu ketika dahulu.

“Mungkin darah satria sudah sebati dalam jiwa, saya memohon memasuki kadet PDRM pada 1976 selepas berhenti bertugas bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Tamat latihan, saya dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields sebagai IO dan kes pertama saya siasat iaitu kes kecurian sebuah rumah milik seorang Inggeris di situ.

“Jenuh saya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan tuan rumah dan akhirnya berjaya mengesan tertuduh yang juga jiran sebelah rumah mangsa,” katanya.

Amidon berkata, suka duka bertugas di lokasi kejadian yang mengambil masa lima hingga lapan jam untuk satu-satu kes, membawa beliau bersama pasukan menjelajah pelusuk bandar dan desa.

“Pahit getir ketika berkhidmat dalam pasukan CSI adalah memori yang tak mungkin dapat saya lupakan sepanjang hayat.

“Saya tidak memilih tugas. Walaupun menjadi ketua, saya bertindak menjadi jurufoto, pencatat, jurulakar dan mengurus serta melabel barang kes, malah memandu van sekiranya pemandu letih,” katanya.

Pernah menjalani kursus dengan Polis Antarabangsa (Interpol), Scotland Yards, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bagi mendalami pengetahuan serta kepakaran dalam bidang siasatan forensik.

Sepanjang 30 tahun bersama pasukan CSI, selain kes Canny Ong dan Altantuya, Amidon turut menyiasat kes pembunuhan Suzaily Mokhtar dan adik Nurin Jazlin, serta kejadian Highlands Tower di Ulu Kelang.

Selepas meninggalkan perkhidmatan di PDRM, beliau dilantik sebagai pensyarah sambilan di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi MARA.

#kitapunyagemilang

325 dibaca
Berita Harian X