Rabu, 14 March 2018 | 1:35am
GAMBAR fail, Setiausaha Negara, Rex Tillerson berjalan keluar selepas mesyuarat di Downing Street, London. - Foto AFP

Pembantu kanan Tillerson dipecat beri komen

WASHINGTON: Seorang pembantu paling kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dipecat hari ini selepas memberi kenyataan berhubung penyingkiran Setiausaha Negara, Rex Tillerson yang bercanggah dengan Rumah Putih.

"Ini adalah satu penghormatan dan saya berterima kasih kepada presiden dan setiausaha di atas peluang ini. Saya tidak sabar untuk berehat," kata Penolong Setiausaha Negara, Steve Goldstein kepada AFP.

Pegawai Rumah Putih dan Jabatan Negara mengesahkan bahawa Presiden Donald Trump memutuskan bahawa Goldstein perlu dipecat, selepas penyingkiran mengejut Tillerson.

Tiada alasan diberi berikutan keputusan itu, tetapi sebelum ini Goldstein yang menguruskan hal ehwal dan diplomasi awam memberitahu pemberita Tillerson tidak menyangka akan dipecat.

Pemecatan Goldstein juga dikatakan agak mengejut, kerana beliau dijadual memberi taklimat ringkas kepada pemberita dalam masa satu jam selepas pengumuman itu.

Trump mengumumkan pemecatan Tillerson dalam Twitter awal hari ini, ketika bekas eksekutif minyak berusia 65 tahun itu kembali dari lawatan ke Afrika dan bersiap untuk mesyuarat sepanjang minggu ini. - AFP

746 dibaca
Berita Harian X