Sabtu, 22 September 2018 | 6:17pm
GAMBAR hiasan.

Hampir 100 maut akibat taun di Nigeria

LAGOS: Penularan taun di timur laut Nigeria meragut hampir 100 nyawa sejak dua minggu lalu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Lebih 3,000 kes taun direkodkan di negeri Yobe dan Borno di wilayah itu yang turut digegarkan dengan pergerakan Boko Haram.

“Jumlah terkumpul bilangan kes direkodkan di kedua-dua negeri buat masa ini adalah 3,126 termasuk 97 kematian,” kata Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA).

Penularan itu diisytiharkan dua minggu lalu di Borno, yang menyaksikan ratusan ribu penduduk yang tiada tempat tinggal menetap di khemah.

Rabu lalu, laporan PBB menyatakan lebih 500 maut akibat taun di wilayah Tasik Chad sejak awal tahun ini, mewakili penularan terburuk melanda kawasan itu dalam empat dekad.

Ia berkata, lebih enam juta penduduk terjejas akibat penularan itu tanpa tindakan pantas untuk mengawalnya.

Banjir dan hujan lebat adalah persekitaran paling baik untuk wabak itu merebak, kata OCHA.

OCHA berkata, Nigeria, negara paling ramai penduduk di Afrika, paling teruk terjejas dengan 24,000 kes secara keseluruhan, dan berkata tindakan segera perlu diambil untuk membendung penyakit itu. — AFP

80 dibaca
Berita Harian X