Sabtu, 22 September 2018 | 7:36am
PASUKAN penyelamat terus gigih mencari sejumlah lagi penumpang yang masih hilang dan dipercayai lemas. - Foto AFP

Presiden Tanzania arah tahan pengusaha bot karam

NAIROBI: Presiden Tanzania, John Magufuli semalam mengarahkan penangkapan pengurusan feri yang karam di Tasik Victoria dengan angka korban kini meningkat 136 orang.

Pihak berkuasa berkata, pasukan penyelamat terus gigih mencari sejumlah lagi penumpang yang masih hilang dan dipercayai lemas.

Feri MV Nyerere dipercayai membawa sehingga 200 penumpang, jumlah yang melebihi had dibenarkan ketika ia karam berhampiran dermaga di Pulau Ukara pada Khamis, kata media.

Menurut saksi, feri itu mula karam sebaik penumpang berasak-asak ke satu bahagian kapal untuk turun ketika ia cuba berlabuh.

Dalam satu kenyataan di stesen penyiar TBC One, Magufuli berkata, jelas feri itu membawa muatan berlebihan dan kecuaian mengakibatkan negara kehilangan banyak nyawa.

“Saya sudah mengarahkan tangkapan dibuat ke atas semua pihak yang terbabit dengan pengurusan feri berkenaan. Tangkapan sudah pun bermula,” katanya yang turut mengisytiharkan negara itu berkabung selama empat hari.

Tanzania berdepan insiden paling buruk membabitkan lebih 800 korban selepas feri yang dinaiki karam dalam perjalanan ke Mwanza pada 1996. - AFP

421 dibaca
Berita Harian X