Jumaat, 21 September 2018 | 11:49am

Lebih 40 maut, hilang feri karam di Tasik Victoria

NAIROBI: Sekurang-kurangnya 44 maut atau dikhuatiri hilang selepas sebuah feri dilaporkan karam semalam, di tasik Victoria, Tanzania, yang juga tasik terbesar di Afrika.

“Dipercayai lebih 100 penumpang menaiki feri itu ketika ia karam pada tengah hari semalam, berhampiran Pulau Ukara di tenggara tasik berkenaan, yang keluasannya turut meliputi Uganda dan Kenya,” kata ketua majlis daerah Ukewere, George Nyamaha.

Gabenor wilayah, John Mongella, pula berkata angka kematian mencecah 44 mangsa, manakala 37 lagi penumpang berjaya diselamatkan, walaupun sebahagian daripada mereka berada dalam keadaan amat membimbangkan.

Beliau berkata, operasi menyelamat ditangguhkan sementara dan akan disambung semula pagi ini.

Agensi Perkhidmatan, Mekanikal dan Elektrikal Tanzania dalam satu kenyataan berkata, jumlah sebenar penumpang feri, MV Nyerere, tidak diketahui.

Selain membawa penumpang, feri terbabit turut membawa muatan kargo, termasuk jagung dan simen, ketika ia terbalik berhampiran dok.

Dalam pada itu, punca kejadian berkenaan masih belum diketahui, tetapi membawa lebih muatan sering menjadi faktor berlakunya insiden seperti itu. - AFP

288 dibaca
Berita Harian X