Selasa, 13 March 2018 | 12:31pm
AYUB Rahmat. - Foto Mohd Azren Jamaludin

PAN guna nama Istana Johor untuk politik - EXCO

JOHOR BAHRU: Cadangan Parti Amanah Negara (PAN) negeri untuk mewujudkan Universiti Sultan Ibrahim, dengan mengheret nama baik Istana Johor, mengelirukan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata ia menggambarkan parti itu dalam keadaan terdesak dan kurang faham dengan tawaran pendidikan yang ada di Johor.

Katanya, tindakan parti itu dilihat bertentangan dengan perintah Sultan Johor supaya nama baginda tidak dipergunakan untuk kepentingan politik.

"Institusi kerajaan dan awam seharusnya bergerak dan berkhidmat secara bebas daripada politik. Namun, inilah yang dilakukan oleh PAN.

"Ketika kita tidak pasti sama ada mereka sudah mendapat perkenan Istana untuk mengabadikan nama Tuanku Sultan Ibrahim pada universiti yang ingin ditubuhkan, mereka sudah terlebih dahulu menjaja nama itu dan mempolitikkannya.

"Ini satu tindakan tidak bertanggungjawab dan dilihat berniat tidak ikhlas serta mahu mengelirukan masyarakat dengan mengheret nama baik Istana," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ayub berkata, ia juga menunjukkan betapa terdesaknya PAN yang sering dianaktirikan oleh Pakatan Harapan (PH).

"Mana tidaknya, cadangan menubuhkan sebuah universiti adalah satu cadangan yang besar dan bersifat nasional. Namun, ia tidak pun diterima untuk dimasukkan dalam manifesto bersama PH.

"Kedua, cadangan ad hoc ini menunjukkan PAN tidak pun memahami sektor pengajian tinggi dengan mencadangkan sebuah universiti yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.

"Ketiga, cadangan semberono ini jelas membuktikan PAN tidak pun tahu mengenai keadaan semasa di negeri Johor. Jadi, tidak hairanlah terpacul satu cadangan yang bukan sahaja bersifat populis, namun tidak praktikal, tidak teliti dan tidak ikhlas," katanya.

Cadangan mewujudkan Universiti Johor lahir menerusi sebuah program wacana pendidikan yang disertai Warga Pendidik Prihatin Johor, pada Khamis lalu.

Antara panel wacana itu adalah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Pengetua Maktab Sultan Abu Bakar, Zais Mohd Akil; Pengerusi Warga Pendidik, Senan Ibrahim dan bekas Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Emeritus Dr Shamsudin Mohd Amin.

2160 dibaca
Berita Harian X